Salam Ramadhan yang penuh berkah,
Kita telah melangkah masuk ke bahagian fasa pertama Ramadhan.Semoga Allah SWT terus memimpin kita dan memberikan kita kekuatan untuk terus istiqamah dengan ibadah dan amal soleh walau sedikit sekalipun.
Sabda Rasulullah SAW ;
“Sebaik-baik amalan adalah amalan yang istiqamah (dilakukan tanpa henti) walau sedikit sekalipun”
Perhatikan ibadah kita pada bahagian yang pertama Ramadhan (10 hari pertama) untuk menjadi ukuran muhasabah kita bagi menggerakkan kekuatan ibadah dan amal dalam hari-hari berbaki dari bulan berkat ini agar kita tidak ketinggalan sedikitpun dari kebaikan yang telah dijanjikan di bulan mulia ini. Takutilah jika sekiranya kita tidak mendapat habuan dan kebaikan dari apa yang telah disediakan Allah daripada maghfirah dan kebebasan dari api neraka sepanjang bulan rahmah ini.
Sesungguhnya ada perbezaan antara puasa mukmin dan puasa munafiq.
Seorang mukmin pasti merasa sedih dan teramat berdukacita kerana hari-hari di dalam bulan Ramadhan ini semakin berkurangan. Akan beransur pergi meninggalkan kita bukan yang penuh barakah serta janji keampunan dari Allah.
Bulan yang setiap amalan sunat diberi pahala amalan fardhu dan setiap amalan fardhu diberikan pahala seumpama melakukan 70 amalan fardhu di bulan-bulan yang selainnya. Akan pergilah bulan yang di setiap malam-malamnya dibebaskan 1 juta hamba-hamba berdosa daripada neraka yang mereka itu pada asalnya telah wajib atas mereka itu masuk ke dalam neraka Allah. Para sahabah menangisi pemergian Ramadhan dan merekalah sebaik-baik generasi yang mesti menjadi qudwah sekalian umat Rasulullah SAW.
Seorang munafiq pula, dek kerana kekotoran hatinya amat terseksa dengan Ramadhan. Semakin berkurangan bilangan hari yang berbaki daripada Ramadhan, maka semakin ia bergembira serta bersukacita. Seorang munafiq lebih memberikan perhatian bagaimana mahu menyambut hari raya berbanding meningkatkan amal ibadah serta merebut pahala di bulan Ramadhan.
Mereka tidak pernah mempedulikan kualiti puasa serta ibadah sebaliknya terlalu asyik dengan baju baru, langsir baru, kuih raya, tukar perabut dan pelbagai kelalaian serta kealpaan lagi. Al Quran tidak dibaca apatah lagi tadabbur. Solat fardhu tidak dipelihara. Harta tidak diinfaqkan pada jalan sepatutnya. Malam dibiarkan berlalu tanpa istighfar dan doa. Alangkah malangnya mereka ini serta malang jualah pengikut-pengikut mereka. Semoga Allah melindungi kita serta memimpin kita kepada kebaikan dunia dan akhirat.
Perteguhkan iman dan keyakinan demi meneruskan semaraknya semangat untuk bertungkus lumus beribadah serta melakukan ketaatan di bulan mulia ini. Moga kita dapat meraih kemenangan duniawi dan ukhrawi.
“Ya Allah, jadikalah awal Ramadhan ini sebagai hari-hari terbaik dalam kehidupanku, dan jadikan aku orang yang sabar dipertengahan Ramadhan dan perkuatkan imanku pada akhir Ramadhan agar dengannya aku dikasihi olehMu, diampuni seluruh dosaku dan diberkati baki-baki dari umurku.” Amin…